Skip to navigation Skip to navigation Skip to search form Skip to login form Skip to footer Langkau ke kandungan utama

Entri blog oleh MOHD ROBANI HASSAN

UniMAP COSHE Perkukuh Kerjasama dengan Pasukan Hazmat Bomba Kulim Hi-Tech
UniMAP COSHE Perkukuh Kerjasama dengan Pasukan Hazmat Bomba Kulim Hi-Tech
UniMAP COSHE Perkukuh Kerjasama dengan Pasukan Hazmat Bomba Kulim Hi-TechUniMAP COSHE Perkukuh Kerjasama dengan Pasukan Hazmat Bomba Kulim Hi-Tech

Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, 29 April 2025 – Dalam usaha proaktif memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan kimia dan keupayaan tindak balas kecemasan, Pusat Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (COSHE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Pasukan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kulim Hi-Tech.

Satu latihan intensif dan menyeluruh telah berjaya dianjurkan melibatkan staf akademik dan teknikal daripada beberapa fakulti di antara falkuti yang terlibat adalah seperti Fakulti Kejuruteraan Awam dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan Kimia, Pusat Kesihatan UniMAP dan lain-lain jabatan .Antara peserta yang terlibat termasuk jurutera pengajar, penolong jurutera, pensyarah, dan pegawai sains yang berperanan penting dalam pengurusan makmal, inventori bahan kimia, serta pengurusan sisa terjadual di peringkat fakulti.

Program ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Farrah Aini Dahalan dan disokong oleh pasukan pegawai sains yang diketuai oleh Ketua Unit Pertolongan Cemas dan Pengurusan Buangan Terjadual, Puan Eliani Aziana, serta dibantu oleh kakitangan pentadbiran COSHE yang bertindak sebagai sekretariat. Latihan ini turut menerima sokongan kewangan daripada Unit Latihan dan Pengukuhan Bakat UniMAP, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar yang diketuai oleh YM Raja Shah Erman Raja Arifin dan disokong penuh oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi - Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail, serta Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zaliman bin Sauli.

Latihan ini merangkumi tiga komponen utama iaitu: pengukuhan pengetahuan teori berkaitan bahan kimia berbahaya dan prosedur kecemasan; latihan praktikal pemakaian dan pelepasan peralatan perlindungan diri (PPE); serta simulasi pengurusan insiden tumpahan bahan kimia berbahaya secara realistik. Para peserta didedahkan kepada cabaran sebenar dan prosedur membuat keputusan dalam situasi kecemasan, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kecekapan mereka dalam menangani insiden kimia.

Kepentingan latihan ini bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan terhadap peraturan keselamatan, tetapi juga bertujuan memperkukuh budaya keselamatan, rasa tanggungjawab, serta pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan warga universiti. Seiring dengan perkembangan pesat dalam bidang sains, teknologi dan penyelidikan yang melibatkan penggunaan bahan kimia berbahaya, keperluan terhadap staf terlatih yang mampu bertindak cekap dalam situasi kritikal semakin mendesak.

Sebagai unit Hazmat terdekat dengan negeri Perlis, Bomba Kulim Hi-Tech memainkan peranan penting dalam memberi sokongan tindak balas kecemasan secara pantas dan efektif. Kesiapsiagaan mereka untuk bertindak balas terhadap sebarang insiden di UniMAP memberikan keyakinan tambahan kepada komuniti kampus dan kawasan sekitarnya.

“Inisiatif oleh UniMAP ini amat kami alu-alukan. Ia bukan sahaja meningkatkan tahap kesedaran, malah membuatkan kami lebih bersedia terhadap potensi risiko di kawasan ini. Kini, UniMAP berada dalam radar kami, dan kami bersedia untuk memberikan bantuan bila-bila masa diperlukan,” ujar Ketua Balai Bomba Kulim Hi-Tech.

Kesan positif daripada latihan ini dapat dilihat bukan sahaja dalam aspek tindak balas kecemasan, malah turut memperkasakan staf UniMAP dengan ilmu dan kemahiran teknikal dalam pengurusan bahan berbahaya. Ia juga mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kecemasan, di samping mempromosikan pendekatan keselamatan kimia yang mampan dan berorientasikan pencegahan.

Secara keseluruhannya, latihan ini memperkukuh ekosistem keselamatan di UniMAP dengan memastikan semua lapisan staf – dari teknikal hingga kepimpinan akademik – memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan kimia. Program ini turut memupuk semangat kerja selamat, membentuk budaya kerja yang bertanggungjawab di kawasan berisiko tinggi, serta menggalakkan pembelajaran berterusan dalam pengurusan risiko kimia.

Kerjasama strategik ini turut membuka peluang kepada penganjuran latihan bersama pada masa hadapan, perkongsian kepakaran, serta pembangunan dasar keselamatan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi UniMAP untuk terus menjadi sebuah institusi teknikal unggul yang berdaya saing, mampan dan bertanggungjawab terhadap keselamatan serta kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

Dengan pertumbuhan pesat UniMAP sebagai hab penyelidikan dan inovasi, kolaborasi bersama Pasukan Hazmat Bomba Kulim Hi-Tech ini merupakan satu pencapaian signifikan ke arah menjadikan UniMAP universiti contoh dalam pengurusan keselamatan bahan kimia dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

  
  • oshtraining@unimap.edu.my
  • +604 941 4300
  • COSHE Blok A Bangunan Pusat Latihan Kejuruteraan UniMAP Kampus Alam 02600 Arau Perlis
© 2020 - 2025 COSHE UniMAP. All rights reserved.
 
Scroll to top